Monday, February 26, 2018

kemenjadian murid


Soalan: Bincangkan bentuk-bentuk interaksi yang memberi kesan negatif kepada pembinaan kemenjadian murid. Bagaimana anda sebagai pendidik dapat menangani situasi tersebut

Pengenalan
 Institusi-institusi pendidikan di Malaysia kini memerlukan perubahan yang berterusan bagi mengekalkan dan meningkatkan prestasi serta keberkesanannya. Ianya merupakan wawasan dan agenda penting yang termaktub dalam misi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang memberi fokus kepada usaha membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti, bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia. Terdapat lima hasil yang ingin dicapai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan: akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan (Ekshibit 2-1). Dalam konteks Malaysia, aspirasi ini muncul daripada kandungan laporan pendidikan yang bersejarah dan masih relevan, sama seperti ketika mula-mula direncanakan. Pada tahun 1956, Laporan Razak merencanakan suatu sistem pendidikan kebangsaan yang menjamin tempat di sekolah untuk
semua kanak-kanak tanpa mengira etnik atau latar belakang sosioekonomi, dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang menghargai perpaduan dalam kepelbagaian. Pada tahun 1979, Laporan Jawatankuasa Kabinet mengkaji pelaksanaan dasar pelajaran. Laporan ini juga menegaskan semula matlamat Malaysia terhadap sistem pendidikan berfokuskan pendidikan murid secara holistik, dan menyediakan negara untuk masa depan.
Terbaru, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses, ekuiti, kualiti, kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan. Kelima-lima teras asas ini juga selari dengan aspirasi Dialog Nasional. Tindakan dalam melaksanakannya penting dan tiada satu pun inisiatif pelaksanaan seharusnya mengganggu atau menjejas kemajuan aspirasi lain. (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), 2013-2015).
Untuk mengekal dan meningkatkan prestasi serta keberkesanan misi Kementerian Pelajaran Malaysia tersebut, menuntut komitmen dan usaha yang berterusan daripada kepemimpinan sekolah dan guru-guru yang menjadi tonggak utama membentuk dan meningkatkan kemenjadian murid dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah di peringkat sekolah. Perubahan dan keberkesanan pelaksanaan sistem pendidikan dalam sesebuah negara sering kali dikaitkan dengan kecemerlangan kepemimpinan dan kualiti guruguru dalam sesebuah sekolah (Kantrowitz & Wingert, 2000). Malah pembangunan dan kemajuan negara pada masa depan bergantung kepada sistem pendidikan, 2 Oleh itu, perubahan yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan menuntut pemimpin sekolah dan guru lebih bersikap adaptif, bekerja secara efektif, sentiasa meningkatkan kemajuan sekolah, berfokus kepada kebajikan dan kemajuan pelajar dan berkongsi matlamat untuk memajukan sekolah dan meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia.
Dalam hal ini, kekukuhan dan penyuburan perkembangan diri pemimpin yang stabil dari aspek psikologi bagi meningkatkan penglibatan kendiri yang optimum dalam kemahiran berinteraksi dengan guru-guru dan pelajar harus diutamakan (Mariani Md Nor, 2002).

Definisi
Interaksi menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat ialah tindakan atau perhubungan aktif antara satu sama lain, tindak balas antara dua atau beberapa pihak. Mengikut kamus ‘A English Dictionary’: Interaksi bererti proses saling bertindak serta saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Di bawah konsep pendidikan, interaksi dalam bilik darjah boleh ditinjau daripada dua sudut iaitu interaksi antara individu dan interaksi di antara individu dengan alam sekitar. Mengikut model pengajaran Sim, konsep interaksi dalam bilik darjah boleh merujuk kepada proses saling bertindak diantara guru,murid,objektif pelajaran, isi kandungan serta alam sekitarnya yang meliputi segala aspek budaya, sosioekonomi, organisasi, lokasi dan masa.

Kemenjadian Murid

Kemenjadian murid membawa maksud perihal murid di dalam bidang akademik, kokurikulum serta pembangunan sahsiah yang membawa kejayaan kepada sesebuah sekolah dalam menghasilkan pendidikan yang berkualiti tinggi. Manakala Mohd Asran (2011) mendefinisikannya sebagai indikator penerimaan ilmu yang dapat diukur melalui perubahan tingkah laku, atau lebih dikenali sebagai kemenjadian murid dan proses ini berterusan hingga ke akhir persekolahan.
Termalogi atau rangkaikata " kemenjadian murid" mula digunapakai oleh Dato' Abd Rahim Tahir, mantan Pengarah Pelajaran Terengganu yang juga mantan Ketua Jemaah Nazir Malaysia. Seringkali dalam ucapan serta pidatonya yang hebat serta kertas penulisan beliau, termalogi "kemenjadian murid" diulang sebut dengan penuh pengertian biarpun tidak kurang suara dan wajah sinis memandangnya. Apabila beliau menjadi Ketua Jemaah Nazir "kemenjadian murid" diangkat menjadi salah satu fokus dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan digunapakai hingga kini secara formaliti.
Secara mudahnya "kemenjadian murid" itu adalah "outcome" atau rupa bentuk insan yang kita mahu hasilkan dari  kerjabuat kita mendidik sama ada ianya benar-benar terjadi dengan sempurna, kurang sempurna atau tidak menjadi langsung. Rupa bentuk insan yang kita mahukan itu telah digaris secara sempurna dan bertulis dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Persoalannya apakah kemenjadian murid yang digariskan begitu murni dalam FPK ini telah kita capai dengan sempurnanya ? Atau baru nampak bayangnya ? Apakah fenomena sosio-budaya  dan amalan nilai dalam kehidupan generasi kita hari ini benar-benar mencapai kesempurnaan masyarakat berilmu dan bertamaddun ? Dan jika ianya ditafsir sebagai "kurang berjaya" siapa yang perlu dipertanggungjawab ? Dan apakah penyelesaian dan kesudahannya? Mampukah nanti negera kita mencapai Wawasan Negara Maju Tahun 2020?
Pada pandangan  kita penyediaan Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 yang memberi penekanan aspek kemenjadian murid melalui Aspirasi Murid dengan memberi enam ciri utama murid adalah usaha memantap dan memperkasakan lagi makna kemenjadian murid dalam FPK. Enam ciri utama murid yang dihasratkan:
  1. Murid yang mempunyai pengetahuan  
  2. Murid yang mempunyai kemahiran berfikir 
  3. Murid yang mempunyai kemahiran memimpin  
  4. Murid yang mempunyai kemahiran dwibahasa  
  5. Murid yang mempunyai Etika dan Kerohanian  
  6. Murid yang mempunyai Identiti Nasional 

Justeru itu, dapatlah difahami bahawa kemenjadian murid merangkumi tiga aspek penting yang menjadi domain utama pembelajaran iaitu, ilmu pengetahuan, kemahiran sosial dan mengamalkan nilai murni dalam kehidupan. Matlamat akhir kelak adalah membentuk masyarakat Malaysia yang lebih toleran, menghormati orang lain dan berilmu pengetahuan.

Pernyataan Masalah
            Berdasarkan pemerhatian, hanya beberapa bentuk interaksi yang memberi kesan negatif sahaja akan dibincangkan. Antara interaksi yang memberikan kesan negatif ialah pengasingan atau pengkelasan murid, pelabelan murid, dan pengaruh rakan sebaya. Tiga interaksi yang memberi kesan kepada kemenjadian murid ini akan dikupas bersesuaian dengan interaksi yang berlaku di sekolah khususnya.
1.      Pengkelasan Murid
Dasar kerajaan selepas negara mencapai kemerdekaan, amat berbeza  dimana
Pendidikan melalui pengaliran diamalkan. Melalui pengaliran ini, murid-murid akan bersaing untuk mendapatkan pendidikan. Pendidikan ini di sahkan oleh sistem peperiksaan. Bagi mencapai matlamat sekolah murid-murid di asingkan mengikut kebolahan. Pelajar yang cemerlang akan di tempatkan dalam kelas A, murid yang sederhana dalam kelas B manakala murid yang lemah dalam kelas C  dan D. Contohnya  selepas UPSR pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah akan diasingkan  mengikut keputusan UPSR. Di peringkat sekolah menengah pelajar-pelajar diasingkan mengikut keputusan PMR dan SPM. 
Selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan oleh kerajaan maka wujudlah sekolah- sekolah berasrama penuh. Sekolah–sekolah ini wujud supaya dapat membantu  kaum yang ketinggalan dalam ekonomi mencapai pembanggunan yang setara dengan kaum-kaum lain di Negara ini. Khasnya kaum Bumiputra. 
Amalan Meritokrasi secara umumnya telah di terima oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia sebagai sebahagian dari sistem Pendidikan Negara.
 Kesimpulanya, Metrokrasi membolehkan setiap murid dan pelajar menikmati pendidikan yang sempurna mengikut kebolehan masing-masing. Ianya juga memberi peluang kepada murid-murid  untuk mencapai ke tahap yang lebih tinggi. 
Seperti mana yang dinyatakan sebentar tadi bahawa Metrokrasi memberi peluang kepada semua murid dan pelajar untuk mencapai pendidikan ke tahap yang maksimum. Setiap murid dan pelajar di beri peluang untuk memperolehi ilmu pengetahuan mengikut kebolehan mereka. Namun apabila kita membincangkan isu pengasingan pelajar, kita dapati ada pihak yang cuba menyalahgunakan konsep ini untuk kepentingan diri sendiri. Sebagai contoh, Pengetua , Guru Besar dan guru–guru yang sedia maklum perkara ini cuba untuk mengasingkan pelajar-pelajar mengikut kaum. Mereka berbuat demikian supaya dapat memberi pendidikan kepada kaum mereka sahaja dan kaum-kaum lain di tinggalkan. Apabila ini berlaku maka  satu kaum dapat menguasai ilmu pengetahuan. Agenda sebenar mereka ialah supaya menjadikan kaum-kaum lain lemah dari segi ilmu pengetahuan dan ekonomi.
Apabila perkara ini berlaku, interaksi negative akan berlaku pada kelas rendah atau hujung oleh sebahagian guru dan pelajar kelas hadapan. Ini akan menyebabkan murid kelas bawah ini akan merasakan rendah diri dan tidak dihargai. Motivasi untuk belajar juga akan jatuh dan menyebabkan mereka tiada semangat untuk menuntut ilmu. Hal ini akan berterusan dan golongan pelajar ini juga akan menjadi penyebab berlakunya gejala social dan masalah disiplin di sekolah. Ini dapat disimpulkan bahawa pengekelasan adalah salah satu interaksi negatif yang berlaku di sekolah dan menyebabkan kemenjadian murid terganggu.
2.      Pelabelan Murid
Pelebelan didefinisikan sebagai mengecap seseorang mempunyai sesuatu sifat yang tidak baik seperti jahat, suka menipu dan sebagainya. Pelebelan juga boleh dianggap sebagai satu tanggapan atau penilaian yang dibuat berdasarkan pandangan individu itu sendiri terhadap sesuatu perkara.
Kesan negatif pelebelan kepada murid ialah ia akan mewujudkan sifat pemalu yang tinggi dikalangan murid yang rendah. Murid sering diketepikan dalam segala aktiviti yang diadakan di sekolah. Murid yang hanya berbakat dan dilihat cerdik sahaja yang mendapat peluang menyertai pelbagai pertandingan. Selain itu timbulnya pelbagai istilah negatif bukan sahaja menyebabkan murid patah hati untuk belajar tetapi menjurus kepada masalah disiplin.
Selain itu kesan negatif pelebelan kepada ibu bapa murid juga berlaku antaranya ialah tekanan psikologi dan rasa rendah diri dikalangan ibu bapa dan ahli keluarga sendiri.  Mereka tidak dapat menerima persepsi masyarakat terhadap anak-anak mereka. Mereka dilihat sebagai liabiliti bukannya sebagai aset. Ini dilihat memberi kesan negatif terhadap interaksi dalam kemenjadian murid.

3.      Pengaruh Rakan Sebaya
Rakan sebaya dan keluarga merupakan dua dunia sosial tempat seseorang itu membeza. Apabila berada di rumah seseorang itu akan bergaul dengan keluarganya yang terdiri daripada ibu bapa dan adik beradiknya. Manakala apabila seseorang itu berada di luar rumah ia akan bergaul dengan rakan sebaya. Rakan sebaya ini terdiri daripada pelajar-pelajar atau remaja yang mempunyai umur yang hampir-hampir sama di antara satu sama lain.
Mustafa Fahmi (1971) menyatakan remaja cenderung menuruti tingkah laku kumpulan yang mana ia berada di dalamnya. Remaja diperingkat awalan ini akan bersungguh mencuba bertingkah  laku  seperti  tingkahlaku  kumpulannya.  Remaja  ini  juga  akan  melakukan  atau membuat apa yang dilakukan atau dibuat oleh kumpulannya. Muhd. Mansur Abdullah dan rakan- rakan (1988) menyatakan dengan mencontohi rakan sebayanya, belia kita akan dapat belajar satu tingkah laku baru yang cuba diserap dan disesuaikan pula ke dalam personalitinya. Oleh itu pemilihan rakan sebaya adalah sangat penting. Dalam hal ini, siapa yang patut menentukan jenis rakan sebaya yang menjadi pilihan. Dalam Islam, ibu bapa sendiri mengenalpasti rakan-rakan yang  berakhlak  mulia  (Osman  Ayub,  1990).  Melalui  rakan-rakanya  yang  positif  ini  akan wujudlah  model-model  positif  yang  boleh  dikembangkan  di  semua  peringkat.  Di  Malaysia, program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah dijalankan supaya rakan sebaya dimanfaatkan untuk membaiki disiplin di kalangan pelajar.

Dalam  aspek  pengaruh  rakan  sebaya  dapatan  kajian  lepas  menunjukkan  pelajar menghisap rokok secara berkumpulan atau bersama rakan. Pelajar juga menganggap peraturan atau undang-undang sekolah sebagai sesuatu yang remeh dan tidak perlu dipatuhi. Mereka akan membentuk  kumpulan  tersendiri  dan  mengadakan  peraturan  tertentu  dan  ahli  kumpulan hendaklah mematuhinya. Hal ini mula menimbulkan masalah disiplin seperti peras ugut dan pergaduhan. Biasanya, apabila ahli kumpulan dipukul, mereka akan membalas   secara berkumpulan (Dewan Masyarakat, April 2005).


Dapatan kajian yang disebutkan di atas sejajar dengan dapatan kajian peringkat nasional yang dijalankan oleh Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2003 yang menunjukkan punca salahlaku di kalangan pelajar adalah disebabkan oleh faktor diri, keluarga, persekitaran rakan sebaya dan juga sekolah. Sebagai contoh, kajian tersebut mendapati pada tahun 2003 kira-kira 81.03 peratus melakukan kerana faktor kekeluargaan 4.10 peratus kerana pengaruh rakan sebaya dan 1.24 peratus kerana faktor persekolahan (Dewan Masyarakat, April 2005).
Daripada beberapa dapatan kajian dan pemerhatian, didapati bahawa pengaruh rakan sebaya adalah salah satu berlakunya interaksi negatif. Persekitaran yang baik akan membantu ke arah interaksi yang baik di kalangan pelajar dan murid. Namun sebaliknya sekiranya persekitaran yang negatif, maka akan mempengaruhi interaksi yang tidak baik. Apabila ini berlaku maka akan menyebabkan proses kemenjadian murid tidak dapat dilaksanakan. Kesimpulannya bagi membentuk kemenjadian murid, maka perlulah memastikan persekitaran yang baik bagi melahirkan anak-anak yang berinteraksi sesama mereka dalam suasana positif.









Kesimpulan
Proses kemenjadian murid meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Ia memerlukan kerjasama semua pihak iaitu ibu bapa, guru, kementerian, pemimpin atasan dan bawahan, NGO dan golongan ilmuan serta pendakwah. Sekiranya halangan dalam interaksi negatif iaitu pengkelasan, pelabelan dan pengaruh negatif rakan sebaya dapat diatasi, maka sedikit sebanyak akan membantu kemenjadian murid.
Diharapkan kita semua bersama berganding bahu membantu melahirkan murid yang cemerlang dalam semua aspek. Kemenjadian murid adalah matlamat yang utama sekarang kerana kita bukan sekadar mahu melahirkan murid yang menguasai akademik semata-mata tetapi menguasai, memahami, mengamalkan dan menyampaikan apa yang terkandung dalam JERI.











Bibliografi
Amir Hassan Dawi.2002.” Sosiologi dan Pendidikan”.Tanjung Malim:Quantum Books
Fatimah Daud.1992. Pengenalan Teori-teori Sosiologi. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Ahmad Mahdzan Ayob.1992. Kaedah Penyelidikan Sosioekonomi. Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 
Bernama. .Kesatuan Guru Melayu Kesal Sikap Siva(Article).Berita Harian.
22 Dis 2001.

No comments:

Post a Comment